Saturday, January 14, 2017

KEMBALI KE MAKANAN SILAM – ULAM ULAMAN

Tabiat dan kelakuan kita selari dengan usia dan peredaran masa. Tidak semestinya begitu, namun tanpa kita sedari kelakuan dan perangai kita mula mengikuti kelakuan mereka yang dikategorikan sezaman atau seusia.

Kalau dahulu semasa usia kita dalam belasan tahun, kita terfikir mengapa mereka yang lebih tua tu…. makanannya lain, perangainya lain, hobinya lain, dan pemikirannya lain. Lain, pelik dan tidak mengikuti perkembangan terkini. Dengan kata ringkas, kolot.



Kini, ketika kita sendiri sudah berada dalam kumpulan usia yang sedemikian, empat puluhan atau lima puluhan, tanpa terfikir dan terancang, kita tertarik kepada perkara yang kita rasa lain dan pelik itu dahulu. Begitu lah, roda berputar, dunia berputar, malah fesyen pun berputar. Tiada istilah ‘out-of-date’ dan ‘out-of-fashion’ sebenarnya.

Begitulah yang terjadi kepada saya. Setakat ini dalam hal makanan sahaja, perangai masih lagi ‘rock’ ok. Semakin mula meminati dan memilih ulam sebagai makanan asas waktu tengahari atau malam. Ulam ulaman yang dahulu tidak saya sentuh melainkan terpaksa. Kalau di restoran, makanan ulam ini langsung saya tak endah. Kalau tiada sayur atau sudah kehabisan, saya akan ambil telur mata atau telur dadar sebagai makanan pengganti sayur. Ulam ulaman ini tiada dalam senarai.

Sebelum itu, ada baiknya kita ketahui dahulu apa yang dinamakan ulaman itu. Ia adalah tumbuhan yang dimakan secara mentah tanpa dimasak atau digoreng. Boleh juga dicelur atau direbus tetapi tidak terlalu lama. Ulaman biasanya dimakan dengan nasi, dan menjadi lebih enak jika dimakan bersama sambal belacan atau cencaluk dan sebagainya. Bahagian tumbuhan yang boleh dijadikan ulam adalah pucuk, daun, bunga, biji, umbut atau buah.

Saya rasa anda semua pun sama juga. Keadaan begini biasa kita lihat di mana-mana – setelah menikmati hidangan contohnya, nasi lemak, yang tinggal hanya pinggan kosong dan selalunya 2-3 hirisan timun atau tomato. Begitu juga hidangan satay, semua habis licin kecuali lidi, timun dan bawang. Timun, bawang atau tomato ini akhirnya akan ke tong sampah.

Semacam ada fobia pada timun, tomato atau bawang. Hendak makan ulam rasa macam nak makan ubat. Kalau kita dapat ketepikan rasa ulaman yang biasanya pahit, aneh atau payau itu, kita akan diketemukan dengan khasiat dan kebaikan sebenar yang terkandung dalam ulam dan amat diperlukan oleh tubuh kita.

Kini, tiada lagi. Ulaman yang dahulu dipandang sepi dan dipinggirkan kini menjadi pilihan utama. Kalau hendak makan di restoran dan nampak tiada ulaman disediakan, rasa macam tidak puas hati je pada towkay restoran.

Ok lah, disediakan di sini beberapa ulaman yang popular dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia terutama saya. Ada banyak lagi pastinya tetapi yang berikut adalah yang menjadi pilihan saya masa kini:
  •         Bawang (yang mentah pastinya, bukan bawang goreng)
  •         Daun Pegaga
  •         Petai
  •         Kobis
  •         Ulam Raja
  •         Kacang Kelisa
  •         Timun

Nampak macam biasa sahaja kan. Insyaallah, saya akan mula belajar makan ulaman yang lain – yang kurang popular dan mempunyai nama yang pelik-pelik, namun mengandungi khasiat yang tinggi seperti Sabung Nyawa, Mata Itik, Tenggek Burung, Beluntas dan lain-lain.

Ulaman adalah makanan tradisi dan produk Malaysia yang harus diketengahkan kepada dunia. Kajian saintifik dari professor dan pengkaji professional terutama dari universiti di Malaysia telah menunjukkan dan mengesahkan khasiat dan kebaikan kepada mereka yang mengamalkan pemakanan ulaman ini. Banyak ulaman yang boleh dijadikan ubat dan penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Apa yang lebih penting adalah panduan, tatacara dan kadar pengambilan ulaman berdasarkan hasil kajian tersebut.

Restoran Malaysia di luar negara juga berperanan penting untuk membuka mata rakyat negara luar agar meminati ulaman ini. Produk hasil keluaran dan berjenama Malaysia harus dijulang lebih tinggi di persada antarabangsa. Tidak mustahil jika ulaman adalah produknya.

Anda bagaimana? Sekiranya ada ulam yang menjadi kegemaran, yang istimewa dan khusus di kawasan atau daerah anda silakan kongsi bersama.

Sila 'Like' di Facebook Page kami: https://www.facebook.com/havg.herbs







No comments:

Post a Comment