BUKAN duit jadi ukuran tapi ilmu menjadi dambaan. Itulah yang dapat diungkapkan personaliti Kampus Legend, Dr Abdul Ghani Hussain (Dr Ghani) yang berkecimpung dalam dunia herba sejak 15 tahun lalu.
Cinta beliau terhadap tumbuhan perubatan begitu mendalam, sehingga sanggup meminggirkan kerjaya doktor, bahkan merupakan doktor pertama membuka klinik, Klinik Dr Ghani di Langkawi pada awal 1980-an.
Penulis berpeluang menemuramah Dr Ghani di Persidangan Industri Herba 2015 di Wisma Tani, Putrajaya, anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) baru-baru ini.
Anak kelima daripada tujuh adik-beradik ini dibesarkan dan bersekolah di ibu kota Kuala Lumpur, sebelum belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (1969-1971). Beliau kemudian melanjutkan pelajaran peringkat ijazah perubatan di Cairo University, Mesir.
Sekembali ke tanah air pada 1978, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pensyarah pelatih dalam bidang surgeri. Setahun kemudian, beliau bertugas sebagai Pendaftar Pembedahan dan Anestesia di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Saya belajar sendiri sehingga kalangan rakan menggelar saya ulat buku. Kemampuan saya adalah mudah memahami sesuatu dan memberi tumpuan.
Di MCKK, saya mempelajari jalinan persahabatan yang erat, seterusnya membentuk diri menjadi insan berjati diri. Itulah sebenarnya mengapa penting pilih kawan kerana mereka boleh mempengaruhi cara hidup kita."
Tambah beliau, masa belajar untuk menimba ilmu. Maka isikanlah otak dengan banyak ilmu. Bukan sekadar lulus periksa, malah memahami ilmu sepenuhnya sepenuhnya barulah kita boleh menggunakannya.
Pengasas Herbwalk
“Pada 1984, saya balik ke Langkawi, tanah kelahiran datuk saya dan membuka klinik persendirian. Saya dahulu tidak pernah percaya perubatan tradisional. Sedangkan klinik saya bersebelahan dengan klinik pengamal perubatan tradisional.
"Dia nak ajar ilmu perubatannya, tapi saya kata karut. Sebelum meninggal dunia, dia sempat meminta anaknya menulis semua ramuan ubatan untuk diberikan kepada saya.
"Titik perubahan saya kepada dunia perubatan tradisional bermula tahun 2000 apabila isteri saya, Dayang Jumah Omar alergi ubatan moden. Walaupun saya doktor terkenal di Langkawi, tetapi jadi hilang punca bila tak tahu nak bagi ubat apa sesuai untuk merawat isteri. Ini membuatkan saya sedar diri dengan kekuasaan ALLAH SWT, dan mencari perubatan alternatif,” ujar bapa kepada sembilan anak ini.
Baca selanjutnya di sini
No comments:
Post a Comment